GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
M Hifzuddin Ikhsan dan Safuri Kamaruddin


PEKEBUN kecil getah diminta menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berikutan kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi tujuan pembayaran insentif itu tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, ketika ini hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan IPG, sedangkan insentif itu bertujuan menstabilkan pendapatan mereka.

Katanya, setakat ini hanya RM40 juta subsidi IPG sudah dituntut dan terdapat kira-kira RM60 juta peruntukan lagi untuk tahun 2020 boleh dituntut pekebun getah yang berhadapan masalah harga getah yang tidak stabil.

“Kerajaan sudah menetapkan harga sokongan getah sekerap adalah RM2.50 setiap kilogram (kg) dan apabila harga jatuh bawah dari itu, kita aktifkan IPG bagi membantu penoreh yang terjejas.

“Ini bermakna jika harga getah sekerap yang diambil peraih adalah RM1.70 maka penoreh boleh membuat tuntutan 80 sen (1 kg) di bawah sokongan IPG, tetapi masih ramai tidak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui ketika melawat Pusat Belian Getah, Kampung Luar, Siong di Baling, hari ini.

Sebelum ini, penoreh getah berhadapan masalah membuat tuntutan IPG kerana perlu ke pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) di bandar bagi membuat permohonan menyebabkan ramai tidak berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, pekebun juga digalak menghasilkan getah lateks berikutan harganya yang lebih tinggi berbanding sekerap ketika ini.

“Ketika ini terdapat kira-kira 400,000 pekebun getah dan kebanyakan mereka menghasilkan getah sekerap, sedangkan mereka boleh memilih menghasilkan lateks yang harganya lebih tinggi.

“Akibat kekurangan lateks, kita terpaksa mengimport bahan itu dari Thailand, sedangkan ia boleh dihasilkan sendiri dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal apabila membenarkan kembali operasi perladangan dan kilang di enam daerah negeri itu yang ditutup susulan penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

“Sabah sudah memulakan kembali operasi perladangan mereka dan kita sudah minta mereka ikut prosedur operasi standard bagi mencegah penularan Covid-19 seperti yang dilaksana di Semenanjung dan Sarawak.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku hanya satu kes jangkitan di ladang, kita akan arahkan ladang dan kilang ditutup serta merta,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 2:00 PM