BUSKING online cara Adnan menyampaikan nasihat putuskan rantaian Covid-19.FOTO Nazri Abu Bakar
BUSKING online cara Adnan menyampaikan nasihat putuskan rantaian Covid-19.FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


BAGI melepaskan tekanan dan gian busking di depan orang ramai, penyanyi jalanan popular di Melaka, Adnan Mat Som menampilkan persembahan secara online di media sosial, bermula semalam.

Dia yang memiliki keunikan berikutan mampu menyanyi 15 bahasa dan lebih mesra dipanggil Otaiz Buskers berkata, kesempatan berkenaan diambil selepas tidak berpeluang mengadakan persembahan umum sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Menurutnya, penampilannya kira-kira sejam di media sosial menyampaikan pelbagai lagu sambil memetik gitar nyata mendapat sambutan ramai dengan lebih 3,000 tontonan serta mendapat lebih 500 tanda suka dan komen daripada warganet.

“Apa yang lebih penting adalah menyampaikan pesanan kepada orang ramai supaya duduk di rumah sepanjang PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Kesempatan busking online di rumah di Klebang membolehkan saya memberi nasihat kepada umum untuk tidak melanggar PKP yang disambung sehingga 28 April depan.

“Tiada sebarang bayaran, mereka boleh menyaksikan persembahan saya dan pada masa sama turut disokong warganet menerusi pendapat mereka untuk membantu kerajaan menangani wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya, selain penduduk tempatan, rakyat negara jiran termasuk Singapura dan Indonesia yang turut memberi komen positif terhadap persembahannya.

Dia yang sudah lebih 10 tahun terbabit dengan persembahan busking di tepi Sungai Melaka fasih menyampaikan lagu termasuk menerusi bahasa Portugal, Jepun, Korea, Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam, Nepal, Kemboja, Bangladesh, Perancis, Tamil, Hindi , Mandarin dan Thailand.

Adnan yang juga aktif berlakon filem dan drama bersyukur sempat menyertai penggambaran drama bersiri Gerak Khas terbitan pengarah terkenal Datuk Yusoff Haslam dua hari sebelum PKP di Gombak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:17 PM