Wady (tiga dari kiri) bersama penaja selepas sidang media busking tanpa henti selama 34 jam. FOTO Rosdan Wahid
Wady (tiga dari kiri) bersama penaja selepas sidang media busking tanpa henti selama 34 jam. FOTO Rosdan Wahid
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


KELAB Buskers Malaysia (MYBC) akan mengadakan acara busking tanpa henti selama 34 jam atau 2,017 minit bermula 25 November ini di Balai Seni Negara.

Presidennya, Wady Hamdan berkata, acara menghimpunkan semua buskers dari Malaysia, Indonesia, Jepun, United Kingdom dan Pakistan bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai acara busking tanpa henti.

“Ini sebagai simbolik kebebasan berkarya di jalanan selepas jumlah keahlian yang berdaftar dengan MYBC mencecah 13,000 ahli seluruh negara.

“Persembahan akan bermula 9 pagi pada 25 November dan berakhir 7 petang keesokan harinya,” katanya dalam sidang media di Wow KL, Jalan Ampang, semalam.

Katanya, sebanyak 68 persembahan terdiri daripada muzik, tarian, sajak, puisi, silap mata dan gaya bebas akan dipersembahkan kepada penonton.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Noryahati Awang berkata, kewujudan buskers merancakkan industri pelancongan di negara ini.

“Kementerian merasakan busking platform terbaik dalam membantu industri pelancongan dan menarik pelancong ke negara ini.

“Acara busking tanpa henti ini akan menjadi penanda aras sebagai promosi Tahun Melawat Malaysia tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:48 PM