PERSEMBAHAN Seniman Muslim sebelum pandemik Covid-19.
PERSEMBAHAN Seniman Muslim sebelum pandemik Covid-19.
Ridzuan Abdul Rahman


SEBELUM pandemik Covid-19 melanda negara, beberapa penyanyi seperti Isa Gravity, Wom UG14, Boy Spoon dan 10 lagi artis lain yang bergabung di atas nama Seniman Muslim, bebas bergerak mencari rezeki secara 'busking' di setiap pasar raya besar.

Selain itu, mereka juga bekerja secara tetap sebagai kakitangan Maahad Tahfiz Riyadhul Jannah, Semenyih milik Haslam Shariff dan diberikan gaji, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimanapun, Haslam berkata, pandemik Covid-19 yang menular di Malaysia sejak tahun lalu ternyata menyekat mereka untuk mencari rezeki halal bagi menampung kelangsungan hidup.

"Pembabitan barisan penyanyi senior dan artis dalam Pertubuhan Prihatin Riyadhul Jannah Selangor (PPRJ) yang saya tubuhkan ini, sangat membantu mereka untuk sama-sama berusaha mencari rezeki. Apatah lagi, fungsi utamanya membuat kerja-kerja kebajikan untuk pusat tahfiz.

"Biasanya, Seniman Muslim akan buat persembahan secara busking sambil buka tabung untuk membantu dapatkan kos pembiayaan anak-anak asnaf bagi tajaan yuran belajar mereka.

"Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, punca pendapatan mereka (Seniman Muslim) secara tak langsung terjejas," katanya.

Bagaimanapun, mujur juga keperitan Seniman Muslim mendapat perhatian daripada pendakwah bebas, Imam Muda (IM) Asyraf yang turut membantu meringankan beban ditanggung.

"Sebenarnya saya sendiri pun konsisten membantu mereka dari segi pemberian barangan keperluan dapur, duit poket dan sebagainya dibawah kelolaan PPRJ.

"Apapun, saya amat bersyukur apabila IM Asyraf menerusi pertubuhannya turut bersimpati dan memberi sumbangan sebanyak RM250 seorang, baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, Maahad Tahfiz Riyadhul Jannah juga hingga kini masih beroperasi dengan kelas pembelajaran dibuat secara atas talian (online).

"Pelajar yang ada seramai 64 orang, dan dari golongan asnaf adalah 17 orang. Usia mereka (pelajar) pula dari tujuh tahun sehingga 17 tahun. Buat masa ini, semua pelajar balik ke rumah masing-masing.

"Namun, sebagai cara lain untuk mencari pendapatan, kami juga mengadakan sesi Busking Amal Bersama Artis Seniman Muslim pada Sabtu lalu menerusi platform media sosial seperti Instagram dan Facebook Seniman Muslim Malaysia.

"Kaedah melalui usaha ini akan dijalankan secara berterusan oleh pusat tahfiz dan orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun disediakan," katanya.

Sehubungan itu, usaha dibuat Haslam dan IM Asyraf mendapat pujian daripada Isa Gravity yang melihat nasib mereka terbela.

"Saya dulu kerap 'busking' di pasar raya besar untuk membantu anak-anak tahfiz ini. Tapi, sekarang apakan daya kerana akibat penularan Covid-19 ini, pendapatan saya sendiri pun hilang.

"Namun, saya tetap bersyukur kerana masih ada bantuan diberikan kepada saya serta rakan-rakan artis yang lain juga," katanya.

Personaliti Popular Beramal

Sementara itu, Haslam juga melancarkan Sumbangan Prihatin 3.0 membabitkan kerjasama empat personaliti terkenal iaitu Fedtri Yahya, IM Asyraf serta pasangan pelakon, Amar Baharin dan isterinya, Amyra Rosli.

"Mereka adalah ikon yang dipilih untuk bertindak menguar-uarkannya kepada orang ramai di media sosial. Malah, kami juga sudah melancarkan kempen derma RM1 seorang sejak 9 Julai lalu.

"Melalui kempen ini, kami berhasrat membuat agihan sebanyak 50,000 kampit beras yang akan diedarkan ke seluruh negara untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Masyarakat hanya perlu menyumbang serendah RM1 bagi sekampit beras dengan bersertakan tanda pagar, #SekampitBerasTerukirSebuahSenyuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 6:45 AM