AYUB (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan Operasi Sanitasi Awam di Pusat Latihan Teknologi Tinggiv (ADTEC) Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
AYUB (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan Operasi Sanitasi Awam di Pusat Latihan Teknologi Tinggiv (ADTEC) Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

PEMILIK bengkel dan kedai alat ganti kenderaan di negeri ini tidak digalak untuk membuka premis secara terus, sebaliknya beroperasi hanya untuk membaiki kenderaan yang sudah dihantar oleh pelanggan sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata, tindakan itu dilaksanakan bagi mengelakkan aktiviti orang ramai berkumpul di kawasan premis sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terdahulu, kerajaan sudah membenarkan bengkel serta kedai alat ganti kenderaan dibuka, namun perlu mengikut syarat tertentu.

“Pemilik bengkel digalak untuk meletakkan nombor telefon di hadapan kedai untuk memudahkan pelanggan membuat temujanji dan pelanggan hanya akan datang ke bengkel untuk menghantar kenderaan mereka.

“Apabila kenderaan sudah siap dibaiki, pemilik bengkel akan menghubungi pelanggan untuk mengambilnya sekali gus mengelak aktiviti berkumpul atau pelanggan menunggu sementara kenderaan dibaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor sudah melaksanakan 400 Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di 10 daerah di negeri ini daripada 27 Mac lalu sehingga semalam.

“Operasi ini membabitkan 1,941 anggota bomba, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), SWCorp dan SWM Environment.

“Tumpuan operasi adalah di Johor Bahru, Kluang dan Batu Pahat berikutan ketiga-tiga daerah itu merekodkan jumlah kes Covid-19 tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kawasan tumpuan operasi pula ialah pasar, pasar raya, premis menjual barangan keperluan serta stesen minyak.

“Operasi ini akan diteruskan setiap hari sehingga tempoh PKP dan penularan Covid-19 berakhir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 5:59 PM