ANTARA individu  mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai parti hiburan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
ANTARA individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai parti hiburan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


LIMA belas individu termasuk seorang penolong pegawai perubatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai parti hiburan di sebuah kediaman di Taman Casa Lapangan, Ipoh, Ahad lalu.

Kesemua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka terdiri sembilan lelaki, dua wanita dan empat wanita warga Indonesia berusia 19 hingga 38 tahun didapati berhimpun di dalam mana-mana kawasan jangkitan bagi maksud kegiatan sosial di rumah terbabit pada 2.50 pagi, 5 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan dan semua tertuduh diwakili peguam Awatif Ahmad Bashir dan Nor Izawani Ahmad Jalaludin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Afiqah Izzati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu tidak sewajarnya dilakukan.

“Mereka sepatutnya lebih peka bahawa perintah (PKP) dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:22 PM