Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam pertuduhan pecah amanah dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah lebih RM5.2 juta pada Januari dan Ogos tahun lalu.

Tertuduh, L Ragu Raman, 52, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut lima pertuduhan, dia sebagai ejen pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta dana dari MITRA melakukan pecah amanah.

Dia didakwa melakukan kesalahan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan di Jalan Pasar pada 29 Januari 2021.

Pada 18 Ogos 2021 di lokasi yang sama, tertuduh turut didakwa melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta sebanyak RM120,000.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Sesyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam S Prekash.

Afiqah Izzati menawarkan wang jaminan sebanyak RM100,000 bagaimanapun, Prekash memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 12:11 PM