EMPAT remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Essa Abu Yamin
EMPAT remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

SEORANG pendawai bersama tiga remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Selasa lalu.

Soo Yong Hwa, 19, dan ketiga-tiga remaja berumur 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah bergerak dari Jalan Balau Laut, Taman Kota, Yong Peng ke Jalan Parit Bilal di sini, yang merupakan tempat dalam kawasan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, jam 3.15 pagi, 24 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pada masa sama, kesemua tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua iaitu menghalang penjawat awam, Sarjan Mohd Azhar Salleh menjalankan tugas sewaktu PKP sebagai anggota sekatan jalan raya di Jalan Kluang-Ayer Hitam, jam 3.30 pagi pada hari sama.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul ‘Izzati menetapkan Soo didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit manakala denda RM5,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, bagi pertuduhan kedua.

Kesemua tertuduh juvana terbabit pula dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan 20 Mei depan bagi sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga mereka sementara menunggu laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dewi Jasmine Amalina Ahmad.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 4:27 PM