Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret diatas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menghalang tugas polis dan cubaan membunuh apabila kenderaan yang dinaiki merempuh dua sekatan jalan raya di Simpang Pulai dan Gopeng pada 27 Mei lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret diatas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menghalang tugas polis dan cubaan membunuh apabila kenderaan yang dinaiki merempuh dua sekatan jalan raya di Simpang Pulai dan Gopeng pada 27 Mei lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zahratulhayat Mat Arif


PEMANDU lori sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tuduhan cubaan membunuh tiga anggota polis apabila merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Simpang Pulai dan Gopeng pada hujung bulan lalu.

Tertuduh Mohammad Aguib Roslan, 26, dari Mambang Diawan, Kampar membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memecut laju kenderaan dipandunya yang boleh menyebabkan kematian Koperal Mohd Hasanudin Hassan di SJR Jalan Sultan Nazrin Shah (Chandan Desa), Simpang Pulai, kira-kira 10.30 pagi, 27 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa merempuh SJR lain di Kilometer 19.7 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah Kuala Lumpur) di Gopeng pada 11 pagi, hari sama.

Dia didakwa dalam pengetahuannya boleh menyebabkan kematian Lans Koperal Shahrul Muhairi Muha dan Lans Koperal Ahmad Shahribi Zainun yang menjaga SJR berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, Mohammad Aguib mendakwa dia berbuat demikian selepas dipaksa oleh rakannya yang turut menunjukkan T-baton.

"Saya terpedaya dengan rakan yang memberitahu perlu melanggar sekatan jalan kedua selepas sudah melanggar (SJR) yang pertama," katanya.

Azman turut menggambarkan situasi itu dengan peribahasa Melayu 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'.

Beliau kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi dua pertuduhan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan.

Sementara itu, Mohammad Aguib bersama dua rakannya Mohamad Ikhwan Fahmiezie Loddin, 21, dan Mohd Ashaduzzaman Mohd Khokon Mia, 23, turut didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mohammad Aquib didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda, manakala Mohamad Ikhwan dan Mohd Ashaduzzaman pula dipenjara tiga bulan kerana ingkar PKPB.

Mereka mengaku salah selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad dan Afiqah Izzati Mazlan, manakala semua tertuduh diwakili peguam E P Sittan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka yang menaiki Toyota Avanza dan bukan dari alamat rumah sama didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Mohammad Aquib juga didenda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, sementara Mohamad Ikhwan dan Mohd Ashaduzzaman dipenjara tiga bulan kerana menghalang tugas penjawat awam di dua lokasi berbeza.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di SJR Jalan Sultan Nazrin Shah (Chandan Desa), Simpang Pulai dan Kilometer 19.7 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah Kuala Lumpur) di Gopeng pada 10.30 pagi serta 11 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Umzarul An-Nur mengarahkan hukuman berjalan dari tarikh kedua-dua mereka ditahan pada 27 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 5:13 PM