SUHAIDA (kiri) bersama ahli keluarganya menunjukkan penutup mulut dan hidung yang dihasilkan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SUHAIDA (kiri) bersama ahli keluarganya menunjukkan penutup mulut dan hidung yang dihasilkan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


KEKURANGAN bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran mencetuskan idea buat ibu tunggal kepada empat anak untuk menghasilkan produk itu bagi memenuhi permintaan ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mula menjahit penutup mulut dan hidung empat hari lalu bagi memenuhi permintaan ahli keluarga yang ketiadaan stok, Suhaida Mohd Saidi, 37 , kini tidak menang tangan menghasilkannya.

Suhaida berkata, dia bermula dengan membuat beberapa keping penutup muka dan hidung untuk ahli keluarganya sebelum mereka mengiklankan di laman sosial.

“Tidak sangka pula ia mendapat sambutan bukan hanya pelanggan di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu tetapi pelanggan luar dari Kuala Lumpur, Klang dan Melaka.

“Memang tak menang tangan memenuhi tempahan tetapi saya bersyukur kerana dapat menambah pendapatan berikutan pendapatan sebagai tukang jahit turut terjejas sepanjang PKP kerana kurang mendapat tempahan.

“Selain itu, saya juga gembira dapat membantu orang ramai yang tercari-cari penutup mulut dan hidung berikutan ketiadaan stok ini di farmasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, semalam.

Katanya, dia mula menjahit seawal 8 pagi dibantu adik dan adik iparnya.

“Dalam sehari, sebanyak 50 keping penutup mulut dan hidung mampu dihasilkan dan sehingga kini, lebih 1,000 helai berjaya dijual.

“Saya menggunakan kain kapas dan ia dihasilkan mengikut permintaan pelanggan sama ada mahu yang bertali atau bergetah dengan setiap satu dijual dengan harga RM4.

“Pada peringkat awal, ada pelbagai jenis warna namun kesukaran mendapatkan bekalan kain menyebabkan pilihan warna yang ada terhad,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 7:51 PM