SUHAIDA menunjukkan stoma di perut kiri anaknya Mohd Darius.
SUHAIDA menunjukkan stoma di perut kiri anaknya Mohd Darius.
Adnan Ibrahim

Kluang: “Dengan pendapatan suami RM30 sehari, sukar bagi kami menyediakan kos pembedahan untuk anak kami,” kata Suhaida Basiran, 33, ibu kepada bayi berusia enam bulan, Mohd Darius Hairi yang dilahirkan tanpa lubang najis selain berhadapan masalah jantung berlubang.

Suhaida berkata, kelahiran anak keempat mereka itu amat menyentuh perasaan kerana tidak mempunyai lubang najis menyebabkan bayi berkenaan terpaksa menjalani pembedahan ketika berusia tiga hari untuk membuat stoma iaitu tempat membuang najis di bahagian perut kirinya.

“Itu ikhtiar dapat dilakukan buat sementara waktu untuk menyelamatkan nyawa anak kami.

“Susulan itu, pada 12 Februari ini satu lagi pembedahan bagi membuat lubang membuang najis dan prosedur berkenaan akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu,” katanya di rumahnya di Taman Seri Impian di sini, semalam.

Dengan pendapatan suaminya bergaji hari menyukarkan mereka sekeluarga menyediakan wang bagi pembedahan itu.

“Pendapatan suami, Hairi Nasser, 33, cuma RM30 sehari dan ia hanya dibayar jika datang bekerja.

“Daripada jumlah pendapatan RM900 sebulan, ia digunakan untuk menampung perbelanjaan harian selain sewa rumah dan persekolahan dua daripada empat orang anak berusia enam bulan hingga tujuh tahun,” katanya.

Katanya, kekurangan wang menyebabkan mereka runsing, selain kos meningkat bagi prosedur pembedahan.

Suhaida berkata, walaupun kos pembedahan hanya sekitar RM1,000 kerana ia dilakukan di hospital kerajaan, namun ia cukup besar bagi mereka, apatah lagi dua daripada anak mereka bersekolah di tahun satu dan tadika.

Malah, katanya, selepas selesai pembedahan pada 12 Februari nanti, Mohd Darius akan berhadapan dengan satu lagi pembedahan pada 26 Mac depan untuk menutup stoma sebaik lubang najis yang dibuat itu dapat berfungsi sepenuhnya.

“Bagi proses itu, kami belum diberitahu kos sebenar pembedahan dan ia amat berat untuk ditanggung tambahan lagi saya tidak dapat membantu menjana pendapatan suami kerana terpaksa memberi tumpuan kepada Mohd Darius,” katanya.

Menurut Suhaida, dia dan suaminya juga perlu berhadapan dengan masalah jantung berlubang anak bongsunya itu yang kini masih dalam pemerhatian doktor.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menampung kos perubatan anaknya itu boleh datang sendiri ke rumahnya di No 85, Jalan Seri Impian 3/4, Taman Seri Impian, Kluang atau menyumbang melalui akaun CIMB 7044970689 di atas nama Hairi Nasser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 9:57 AM