MASALAH bekalan bermula sejak Januari lalu apabila wabak Covid-19 tersebar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MASALAH bekalan bermula sejak Januari lalu apabila wabak Covid-19 tersebar. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zatul Iffah Zolkiply


PEMILIK farmasi di Terengganu dibebani masalah aliran tunai berikutan tindakan kebanyakan pembekal meletak syarat pembayaran penuh untuk tempahan topeng mulut, hidung dan cecair pembasmi kuman.

Pengurus Utama Farmasi Intan, Sayed Mohd Saufi Sayed Abdul Kadir berkata, dalam situasi kecemasan ketika ini, pihaknya berharap kerajaan membantu melaksanakan mekanisme tertentu agar bekalan barang itu sentiasa ada.

“Sebelum ini, apabila barang dah ‘jalan’ (terjual), baru kami bayar, tetapi sekarang kami perlu buat bayaran penuh dan keadaan ini memang membebankan.

“Sebagai contoh, saya bayar pendahuluan RM10,000 untuk tambah stok hand sanitizer dan ia menyebabkan aliran tunai untuk stok bulan depan terganggu.

“Apa yang boleh dilaksanakan kerajaan ketika ini membantu kemasukan stok pada harga subsidi supaya harga ditawar kepada pengguna lebih rendah,” katanya.

Sayed Mohd Saufi berkata, ketiadaan bekalan bermula sejak Januari lalu apabila wabak Covid-19 tersebar.

“Sebelum ini, saya ada bantu farmasi di pantai barat dengan menghantar bekalan tambahan kerana permintaan tinggi di sana.

“Ketika itu, tiada had dan saya guna harga biasa iaitu RM12 sekotak yang mengandungi 50 keping topeng muka. Tetapi permintaan naik mendadak awal Februari lalu menyebabkan bekalan topeng cepat habis,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Yeo Lai Teng, 49, meminta kerajaan menambah bekalan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sebagainya bagi memenuhi permintaan sepanjang tempoh wabak.

“Kerajaan perlu lakukan sesuatu kerana rakyat sukar dapatkan bekalan ketika ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 7:34 AM