Empat lelaki berumur 30-an yang sedang duduk berbual sambal minum minuman keras ditahan polis kerana tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Empat lelaki berumur 30-an yang sedang duduk berbual sambal minum minuman keras ditahan polis kerana tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Ruwaida Md Zain

SERAMAI 13 individu termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Klang Utara, Selangor sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, 12 suspek ditahan ketika pemantauan dan juga sekatan jalan raya, manakala seorang lagi suspek ditahan kerana mencuri.

"Suspek pertama yang juga seorang OKU ditangkap kira-kira jam 4 pagi semalam kerana mencuri bateri lori di Taman Klang Utama.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan / Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) 2020.

"Suspek diberi jamin polis sementara kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan.

Nurulhuda berkata, dalam kes berasingan, sepasukan pemantau PKP Covid-19 berjaya menangkap tujuh suspek yang ingkar di tiga lokasi berbeza.

"Kira-kira jam 10 pagi tadi, polis menangkap empat lelaki berumur 30-an sedang duduk berbual sambal minum minuman keras di sebuah gazibo di Lorong Gurun Kawasan 18, Klang.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 AKK (mabuk di tempat awam) / Peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi pula, polis menahan seorang lelaki berumur 24 sedang duduk menghisap rokok di bahu jalan di Jalan Hj Yaakob 7, Taman Sagar Kapar, Klang sebelum menangkap dua lelaki Bangladesh sedang berbual di bawah pokok di Jalan Mempari 9, Meru, Klang.

Katanya, lima suspek ditangkap oleh pasukan polis dan tentera dalam Sekatan Jalan Raya PKP Covid 19 di Jalan Meru berhadapan Hospital Columbia dan Lebuh Raya Selat Klang.

"Kira-kira jam 2 petang tadi, polis menahan seorang lelaki dan seorang perempuan berumur 20 an kerana gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar rumah dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri masing-masing,” katanya.

Katanya, kira-kira 2:05 petang, sebuah kereta dipandu lelaki tempatan dan dua penumpang Bangladesh ditahan kerana gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 9:18 PM