GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi baharu kes penipuan penjualan tiket penerbangan secara dalam talian membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM233,954.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata PDRM menerima 20 kes penipuan dan ia masih dalam siasatan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan mangsa melayari laman sosial (http://cafe.naver.com/mymalaysia) yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan yang didakwa dikendalikan oleh syarikat Apsan Travel and Tour Sdn. Bhd.

"Mangsa membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

"Setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperoleh tiket penerbangan yang dibeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila membuat sebarang transaksi dalam talian dengan individu tidak dikenali di laman sosial yang menawarkan pelbagai tawaran dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.

"Orang ramai dinasihatkan untuk elak membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada nama penjual dan perlu membuat semakan akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101559/1599," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dihukum penjara minimum setahun dan tidak melebihi 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 6:58 PM