Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan lebih pantas menangani jenayah penipuan dalam talian.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, gabungan tiga agensi itu dapat mempercepat tindakan susulan.

"Paling penting adalah kita mahu mengesan 'money trail' kerana proses sindiket itu mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.

"Kita menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung.

Beliau berkata, CCID Scam Response Center adalah pusat panggilan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi kemudahan kepada masyarakat supaya berkomunikasi secara langsung dengan JSJK.

"Berdasarkan perangkaan diperoleh, kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan.

"Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi memastikan maklumat berkaitan jenayah komersial dapat disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, penugasan panggilan CCID Scam Response Center sudah dimulakan pada 15 Februari tahun lalu serta beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, sejak hari pertama beroperasi hingga kini, 2,399 diterima membabitkan 1,530 panggilan atau 63.4 peratus mengenai pertanyaan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.

KAMARUDIN menunjukkan nombor 03 26101559 bagi talian CCID Scam Response Center. FOTO ASYRAF HAMZAH
KAMARUDIN menunjukkan nombor 03 26101559 bagi talian CCID Scam Response Center. FOTO ASYRAF HAMZAH

Katanya, sebanyak 869 panggilan lagi berkaitan pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.

"Kajian mendapati 1,430 atau 59.6 peratus pemanggil terdiri daripada individu yang menjadi mangsa manakala 969 pemanggil (40.4 peratus) adalah individu yang tidak menjadi mangsa.

"Berdasarkan data ini, kita percaya melalui penugasan di CCID Scam Response Center, seramai 969 individu berjaya mengelak daripada menjadi mangsa jenayah komersial.

"Tidak mustahil jumlah individu mendapat manfaat daripada perkongsian maklumat oleh petugas pusat panggilan ini lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Katanya, sebarang maklumat mengenai sindiket penipuan boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101599.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 1:38 PM