BERNAMA

SERAMAI 700 individu dituduh di mahkamah berkaitan kesalahan Macau Scam sejak 2015 sehingga September lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 6,096 kertas siasatan dibuka dengan kerugian direkodkan berjumlah RM303.2 juta.

“Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit dalam penipuan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu langkah kementerian menangani masalah penipuan Macau Scam di negara ini.

Mohd Azis berkata, PDRM juga membangunkan satu portal yang memudahkan masyarakat menyemak nombor telefon dan akaun bank digunakan sindiket melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Selain itu, Facebook ‘Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police’ juga diwujudkan bagi memberi amaran kepada masyarakat dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Katanya, pada Mac lalu, sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ditubuhkan bagi membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 6:31 PM