DR Mazlan Yusoff.
DR Mazlan Yusoff.
Md Fuzi Abd Lateh


DATUK Seri Dr Mazlan Yusoff dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali yang memaklumkan pelantikan selaras dengan kewujudan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai kementerian baharu selepas dipisahkan semula daripada Kementerian Pendidikan.

Mohd Zuki berkata, Mazlan, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah (Kepujian) dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Polisi Sains (Universiti Saitama Jepun) dan Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dari Universiti Hull, United Kingdom.

“Beliau mempunyai pengalaman luas selama 32 tahun dalam Perkhidmatan Awam yang disandang sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak Januari 1988.

“Selain itu, beliau mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan dan pemodenan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan dan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga bekas Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 10:22 PM