Datuk Abdul Ghani Salleh. FOTO Arkib NSTP
Datuk Abdul Ghani Salleh. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


YANG di-Pertuan Agong hari ini memperkenankan pelantikan bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai pengerusi baharu suruhanjaya itu.

Baginda turut memperkenankan pelantikan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai ahli SPR.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan itu, berkata kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa bermula hari ini sehingga mereka berdua mencapai usia 66 tahun.

Beliau berkata, Abdul Ghani, 62, yang juga anak kelahiran Kuala Kurau, Perak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, pelantikan itu dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

"Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pegawai Daerah Gombak.

"Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR," katanya.

Mohd Zuki berkata, Nik Ali, yang juga berusia 62 tahun, anak kelahiran Kelantan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya dan Ijazah sarjana dari University of Hull, United Kingdom.

Beliau berkata, Nik Ali pernah memegang beberapa jawatan dalam kerajaan antaranya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Penasihat Ekonomi di Keduaan Besar Malaysia di Filipina, Pegawai Pembangunan Pulau Pinang, Pengerusi Eksekutif di Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pengarah Unit Pemulihan Pasca Banjir di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, mereka diyakini akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

"Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR," katanya.

Jawatan Pengerusi kosong sejak 29 Jun lalu selepas Azhar meletakkan jawatan. Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, bermulai 13 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:23 PM