WAN Dahlan Aziz
WAN Dahlan Aziz
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa esok.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed menerusi satu kenyataan hari ini.

"Sukacita dimaklumkan bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai KPPA, Jabatan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada 9 Januari 2024.

"Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimilikinya, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani," katanya.

Mohd Zuki berkata, Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sejak mula menyertainya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.

"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, kerajaan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 2:47 PM