DATUK Dr Mohd Gazali Abas. Foto ARKIB NSTP
DATUK Dr Mohd Gazali Abas. Foto ARKIB NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


DATUK Dr Mohd Gazali Abas dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, Mohd Gazali menggantikan Datuk Seri Alias Ahmad yang bersara wajib pada 22 Mei lalu.

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan serta pembangunan modal insan.

“Saya percaya pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti dimiliki Mohd Gazali dapat membantu melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan dan meneruskan misi Kementerian Pendidikan dalam melestarikan sistem pendidikan berkualiti,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, hari ini.

Mohd Gazali berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Nottingham, United Kingdom dan Doktor Falsafah (Maklumat dan Telekomunikasi Global) dari Waseeda University, Jepun.

Beliau menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 13 Januari 1986 dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

Mohd Gazali pernah berkhidmat sebagai Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia; Pengarah Seksyen Pembangunan Modal Insan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Eksekutif Network of Asia Pacific Schools and Institutes of Public Administration and Governance (NAPSIPAG).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 1:55 PM