DATUK Rodzi Md Saad. FOTO Arkib NSTP
DATUK Rodzi Md Saad. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, beliau yakin Rodzi mampu menerajui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan baik.

"Saya juga yakin beliau dapat meneruskan legasi kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan keselamatan serta bencana di Malaysia terutamanya dalam menangani pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, Rodzi yang kini berusia 57 tahun itu mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

"Beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuklah keselamatan dan pengurusan bencana.

"Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 1:12 PM