DATUK Saifuddin Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Saifuddin Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
Asrol Awang


PEJABAT Kedutaan dan Konsulat Malaysia di Beijing, China serta Hong Kong dan Taipei beroperasi seperti biasa, biarpun masih dilanda wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua pejabat berkenaan beroperasi dalam mengurus pelbagai hal berkaitan rakyat negara ini.

Katanya, usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia juga masih dilakukan, membabitkan beberapa kakitangan Wisma Putra dan agensi kerajaan, pasangan dan tanggungan mereka.

“Setakat ini, Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang mereka yang berada di China, khususnya Wuhan selepas berlakunya penularan wabak berkenaan.

“Namun, apa yang boleh saya katakan ialah semua kedutaan dan konsulat di Beijing, Hong Kong dan Taipei beroperasi seperti biasa,” katanya pada sidang media mengulas perkembangan rakyat Malaysia di China kesan daripada penularan Covid-19.

Terdahulu, beliau ditemui pada Program Integrasi Nelayan Balok bersama Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pasar Nelayan Balok di Kuantan.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashima Baharuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin mengesahkan menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China yang akan diadakan di Laos pada 20 Februari ini.

Katanya, mesyuarat itu juga bagi mendapatkan gambaran sebenar penularan Covid-19 yang akan disampaikan oleh Menteri Luar China, termasuk usaha dan pencegahan yang dilakukan negara itu bagi mengelak wabak semakin serius.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 4:54 PM