DUA khemah perniagaan rosak teruk selepas diterbangkan puting beliung, selain menghempap kereta dan bas di tapak Uptown Depan Maybank di pekan Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
DUA khemah perniagaan rosak teruk selepas diterbangkan puting beliung, selain menghempap kereta dan bas di tapak Uptown Depan Maybank di pekan Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


PENGUNJUNG dan peniaga makanan di tapak Uptown Depan Maybank di Pekan Kuah, Langkawi panik apabila dua khemah besar di kawasan itu diterbangkan puting-beliung, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, dua khemah masing-masing berukuran enam meter panjang dan lebar didakwa ‘terangkat’ sebelum terbalik.

Dua khemah besar itu kemudian turut menghempap dua kereta, selain masing-masing sebuah lori dan bas yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Saksi Farid Yusof, 18, berkata ketika kejadian dia dan beberapa peniaga sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan.

“Tiba-tiba saya lihat angin kuat datang dari celah deretan bangunan kedai, dan sekali lalu sahaja dua khemah terangkat selain diseret sejauh 20 meter.

“Khemah turut menghempap dua kereta, sebuah lori dan bas yang diparkir berhampiran sebelum tersangkut pada kabel elektrik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada peniaga dan orang awam.

Mangsa, Yaakob Budin, 42, berkata dia mengalami kerugian selepas keretanya yang diletakkan di kawasan itu kemek di pintu kiri dan kanan serta bumper akibat dihempap khemah.

“Tapak jualan ini dibuka awal tahun ini dengan kesemuanya ada 12 khemah, tapi hanya dua khemah saja yang rosak dalam kejadian ini.

“Nasib baik ketika kejadian pengunjung belum ramai, sekali gus dapat mengelak kemalangan dan kerugian lebih teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 5:28 PM