WANITA terbabit. FOTO Ihsan JAIK.
WANITA terbabit. FOTO Ihsan JAIK.
Zuliaty Zulkiffli


WANITA yang masih dalam tempoh iddah ditahan selepas berkhalwat dengan suami orang di rumahnya di Padang Terap, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, sepasukan anggotanya dari Pejabat Agama Daerah Padang Terap (PADPT) yang diketuai Syeikh Mohd Shahmi Zakuan Samsudin bersama anggotanya tiba di rumah wanita itu jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, pasangan itu yang bukan mahram berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

“Selepas memberi salam, pintu kemudian dibuka dan hasil pemeriksaan menemui pasangan terbabit dalam rumah berkenaan.

“Siasatan mendapati, wanita berusia 33 tahun masih dalam tempoh iddah selepas bercerai dengan suaminya, manakala lelaki berusia 42 tahun itu masih suami orang,” katanya ketika dihubungi.

Radzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pasangan itu gagal mengemukakan dokumen membuktikan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati wanita itu mempunyai seorang anak.

“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berdua-duaan tanpa mahram atau ikatan suami isteri sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

“Sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 9:34 AM