AHMAD Suzaime (kiri) ketika hadir menyampaikan bantuan ilat PERKESO kepada Mohamad Firdaus di FELDA Ulu Pengeli, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
AHMAD Suzaime (kiri) ketika hadir menyampaikan bantuan ilat PERKESO kepada Mohamad Firdaus di FELDA Ulu Pengeli, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

TIGA pesakit kronik di FELDA Ulu Pengeli, Kluang, menerima bantuan ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kluang hari ini.

Pengurus Pejabat Perkeso Kluang Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, tiga penerima ialah Mohamad Firdaus Hairoden, 31, yang menghidap masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis sehingga menyebabkannya tidak boleh bergerak bebas dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Dua lagi ialah Rosnah Daud, 55, yang berhadapan masalah buah pinggang rosak dan Halimah Aban, 59, yang menghidap kencing menyebabkannya tidak boleh berjalan.

“Semakan mendapati, mereka adalah pencarum namun tidak berkelayakan untuk menerima pencen ilat kerana jumlah caruman tidak mencukupi.

“Bagaimanapun, mereka layak untuk diberikan bantuan ilat yang membolehkannya menerima keperluan perubatan dan alat pemulihan seperti lampin pakai buang, kemudahan dialisis serta barangan lain yang diperlukan sehingga kembali sembuh atau sepanjang hayatnya,” katanya.

Suzaime berkata demikian selepas menyerahkan bantuan ilat serta keperluan harian lain kepada Mohamad Firdaus Hairoden.

Menurut Suzaime, semua penerima akan menerima bantuan ini setiap dua hingga tiga bulan sekali bergantung kepada keperluan melalui penyerahan terus ke rumah oleh Skuad Prihatin Perkeso (SPP) Kluang.

“Dalam pada itu, SPP terlebih dahulu berkunjung ke rumah semua penerima selepas menerima maklumat berkaitan pesakit daripada warga peneroka sebelum tindakan susulan dilakukan apabila mendapati mereka berkelayakan menerima faedah caruman daripada kami.

“Untuk itu, kami amat berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penghidap penyakit kronik di kawasan penempatan masing-masing supaya berhubung dengan SPP bagi membolehkan semakan dan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 4:38 PM