Pengurus Pejabat Perkeso Kluang Ahmad Suzaime Abdul Aziz (kiri) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) arwah Syamir Ghazali kepada Maimon Md Yatim (tengah) di kediamannya di Kampung Melayu, Kluang.
Pengurus Pejabat Perkeso Kluang Ahmad Suzaime Abdul Aziz (kiri) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) arwah Syamir Ghazali kepada Maimon Md Yatim (tengah) di kediamannya di Kampung Melayu, Kluang.
Oleh Adnan Ibrahim


Kluang: "Arwah sempat hantar ubat demam dibelinya untuk anak bongsu kami sebelum dia bergegas keluar," kata Maimon Md Yatim, 31.

Suami Maimon, Syamir Ghazali, 32, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dengan Perodua Axia di sekitar daerah ini, 19 September lalu.

Menurut Maimon yang tinggal di Kampung Melayu di sini, kejadian jam 11 malam itu amat memberikan kesan kepadanya sekeluarga.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak berusia satu dan tiga tahun.

"Arwah suami mungkin ke bengkel kenalannya. Dia hanya minta wang belanja RM10 selain tidak meninggalkan apa-apa pesan kepada saya.

"Dunia terasa gelap apabila saya menerima panggilan telefon memaklumkan suami meninggal dunia akibat kemalangan," katanya.

Menurut Maimon, dia menggagahkan diri mengajak bapanya untuk ke lokasi kemalangan untuk kepastian.

"Luluh hati apabila melihat jasad arwah suami. Walaupun sedih, apatah lagi anak-anak masih kecil, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Maimon berkata demikian pada kunjungan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya diwakili Pengurus Pejabat Perkeso Kluang Ahmad Suzaime Abdul Aziz.

Pada kunjungan itu, Maimon menerima pampasan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.

Maimon berterima kasih kepada Perkeso kerana urusan pembayaran faedah caruman arwah suaminya diuruskan hanya dalam tempoh empat hari tanpa perlu berurusan di pejabat pertubuhan itu.

Sementara itu, Ahmad Suzaime berkata, sebagai Orang Berinsurans (OB), waris kepada Syamir layak menerima pencen penakat dengan isteri akan menerima bayaran setiap bulan sepanjang hayat.

"Dua anak arwah akan menerima bayaran sehingga mereka berusia 21 tahun atau ijazah pertama sekiranya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 2:04 PM