KULASEGARAN. FOTO Arkib NSTP.
KULASEGARAN. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

LANGKAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menetapkan syarat baharu berhubung rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman pencarum adalah keputusan pertubuhan itu sendiri.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, segala keputusan berkaitan syarat baharu itu hasil mesyuarat Lembaga PERKESO pada 15 Disember lalu, dan ia dibuat di luar pengetahuannya.

“Keputusan tidak menyediakan perkhidmatan dialisis kepada yang mencarum kurang daripada 24 bulan berbanding 12 bulan dibuat mereka sendiri.

“Keputusan dibuat tanpa pengetahuan saya, dan ada yang kata menteri yang arahkan, ia tidak benar.

“Saya sudah mengarahkan pihak PERKESO menarik balik keputusan mereka,” katanya.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita hadir ke sambutan Thaipusam di Kuil Gunung Cheroh di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, Lembaga PERKESO menjelaskan melalui Arahan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) Bil. 1/2020 yang berkuat kuasa pada 10 Januari lalu, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baharu kelayakan caruman yang ditetapkan selari dengan prinsip perlindungan sosial dan kemampanan dana keselamatan sosial untuk masa hadapan.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Lembaga PERKESO mengumumkan arahan baharu itu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Ia sekali gus membolehkan semua pencarum yang layak, termasuk penerima bantuan ilat menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma seperti mana sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:20 PM