ORANG ramai memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga gelombang kedua penularan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
ORANG ramai memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga gelombang kedua penularan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

PERBADANAN Putrajaya (PPj) hari ini menafikan audio yang tular dalam media sosial yang mendakwa bahawa Putrajaya kini dilanda jangkitan Covid-19.

Dalam kenyataan rasminya di Facebook, PPj menasihati orang awam agar tidak terpedaya dengan laporan audio berdurasi 44 saat berkenaan yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

“Keadaan seperti biasa di Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, dakwaan mengatakan Putrajaya dilanda Covid-19 dengan Hospital Putrajaya sesak dan staf dijangkiti dan disyaki dijangkiti tidak menggambarkan situasi sebenar di Putrajaya malah dikhuatiri boleh menimbulkan panik.

“Keadaan di Putrajaya adalah seperti biasa dan orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga sebagaimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

PPj turut menasihatkan orang awam untuk mengambil sikap bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 3:27 PM