Putrajaya: Diskaun sehingga 50 peratus bagi tiket Perahu Dondang Sayang dan Lepa-Lepa termasuk pakej harian di Marina Putrajaya antara lapan tawaran istimewa disediakan Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada warga Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah 2015.

PPj dalam kenyataan dikeluarkan di sini berkata, Marina Putrajaya menawarkan harga tiket lebih murah bagi tiga aktiviti pelancongan itu bermula semalam sehingga 7 Februari ini.

Pihak Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn Bhd (PAPSB) turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi sesi lawatan berpandu ke lokasi menarik di Putrajaya bagi pemegang MyKad bermula semalam sehingga 8 Februari ini.

Selain itu, diskaun 50 peratus turut diberikan kepada pemegang MyKad yang ingin menyewa peralatan di Taman Cabaran Putrajaya sepanjang minggu pertama bulan ini.

“Bagi penggemar sukan bola tampar, sepak takraw, futsal dan bola keranjang, mereka boleh mendapatkan pakej ‘sewa satu jam percuma satu jam’ bagi kemudahan gelanggang sukan berkenaan.

“Diskaun 50 peratus turut dilanjutkan bagi sewaan kemudahan gelanggang badminton, gimnasium, ping-pong dan skuasy di Kompleks Kejiranan Putrajaya sepanjang minggu pertama Februari,” katanya.

Katanya, Pusat Pembelajaran Kejiranan Putrajaya juga menyediakan tawaran istimewa kepada mereka yang berminat mengikuti pembelajaran di pusat itu tidak akan dikenakan yuran pendaftaran keahlian sepanjang bulan ini.

Selain itu, pusat berkenaan turut menghapuskan bayaran denda lewat bagi pemulangan buku sepanjang bulan ini.

Dalam pada itu, diskaun tiket 30 peratus turut diberikan kepada mereka yang ingin melihat persembahan Tradisional Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sepanjang bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:38 AM