DATUK Muhammad Azmi Mohd Zain (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan juadah sahur kepada ACP Mohd Fadzil Ali sambil disaksikan oleh Datuk Azizi Ahmad Termizi (dua dari kanan) dan Nazahiyah Mohd Hadzir (kanan) di SJR di Lebuh Sentosa Presint 7 menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi hari ini. FOTO Bernama
DATUK Muhammad Azmi Mohd Zain (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan juadah sahur kepada ACP Mohd Fadzil Ali sambil disaksikan oleh Datuk Azizi Ahmad Termizi (dua dari kanan) dan Nazahiyah Mohd Hadzir (kanan) di SJR di Lebuh Sentosa Presint 7 menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi hari ini. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bagi menghargai petugas barisan hadapan memerangi Covid-19 di dalam negara ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Kelab Media Putrajaya menyumbang 370 pek makanan bersahur dan berbuka puasa kepada mereka yang bertugas di lapangan hari ini.

Antara petugas barisan hadapan berkenaan termasuklah anggota polis, anggota bomba serta petugas kesihatan di Hospital Putrajaya.

Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, berkata inisiatif bersama Kelab Media Putrajaya itu diadakan selepas melihat pengorbanan petugas barisan hadapan yang terpaksa memerangi wabak Covid-19 walaupun ketika umat Islam menyambut Ramadan.

Katanya, tanpa petugas barisan hadapan itu sudah akan berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini seperti yang terjadi di negara lain terutamanya India.

"Petugas barisan hadapan ini sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan pesakit Covid-19 di negara ini dijaga dengan sebaiknya.

"Petugas kesihatan, anggota polis, Jabatan Sukarelawan (Rela) atau pun sesiapa pun sangat bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab masing-masing sejak penularan Covid-19 sejak setahun lalu," katanya ketika ditemui selepas penyerahan makanan kepada petugas kesihatan di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

PPj dan Kelab Media Putrajaya mengagihkan sebanyak 170 bungkus makanan untuk bersahur kepada anggota polis dan bomba manakala 200 bungkus lagi diberikan kepada Hospital Putrajaya untuk berbuka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Putrajaya, Nur Hazwani Rabuan, berkata sumbangan berkenaan sangat bermakna kepada pihaknya dan memberi semangat kepada petugas kesihatan untuk menjalankan amanah yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 7:01 PM