Perbadanan Putrajaya (PPj) dicabar untuk memperhebatkan aktiviti pelancongan di pusat pentadbiran kerajaan itu bagi mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong asing dan domestik menjelang 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau mahu Putrajaya terus menjadi destinasi utama tumpuan pelancong bagi tempoh lima tahun akan datang di samping kekal sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pertambahan pengunjung dan pelancong ke Putrajaya akhir-akhir ini membanggakan apabila 7.3 juta pelancong direkodkan pada 2014 berbanding hanya 5.1 juta pelancong 2012 selain 6.5 juta pelancong pada tahun 2013.

“Saya mencabar Presiden PPj Datuk Hasim Ismail untuk memastikan suasana malam di Putrajaya ‘hidup’ bagi membolehkan pelancong asing dan tempatan menginap lebih lama di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:15 AM