FOTO Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
FOTO Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai menghentikan perkongsian yang boleh menimbulkan kekeliruan terutama mengenai wabak Covid-19.

KKM menerusi kenyataannya di Facebook, berkata orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang sah di semua platform rasmi media sosial KKM.

KKM turut memaparkan contoh tangkap layar wabak Covid-19 yang tular di beberapa laman sosial yang disahkan palsu.

Antara maklumat palsu disebarkan itu adalah mengenai tempat yang dikuarantin sekitar Lembah Klang kerana penularan Covid-19, kes Covid-19 yang sudah merebak di Teluk Intan, Perak serta beberapa keping gambar.

“Mohon kerjasama anda semua, hentikan perkongsian yang boleh timbulkan kekeliruan orang ramai.

“Jika tidak pasti, jangan kongsi dengan sesiapa, sebaliknya rujuklah maklumat yang sah di kesemua platform rasmi media sosial KKM,” katanya.

Sementara itu, KKM berkata orang ramai kini boleh berhubung terus dengan Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di setiap negeri yang beroperasi setiap hari bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih mengenai Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 5:36 PM