Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian. FOTO  Siti Rohana Idris
Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


EMPAT beranak sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bahru, Tumpat, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, dua rumah dan sebuah kereta musnah terbakar.

Mangsa, Nor Shahida Ramli, 32, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di Bunut Susu, Pasir Mas sementara suami, Mohd Zaki Ishak, 38, dan tiga anak berada di rumah.

"Ketika kejadian suami sedang mandi manakala tiga anak berada di ruang tamu.

“Anak kami, Mohamad Asyraf, 4, secara tiba-tiba menerpa ke arah suami dan mengadu jarinya sakit terkena api sebelum terdengar jeritan dua lagi anak sebaik ternampak api di langsir.

"Suami yang hanya bertuala dan anak terus keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, suaminya hanya sempat menyelamatkan motosikal saja berikutan api marak dengan cepat.

"Dokumen penting gagal diselamatkan. Kereta jiran turut musnah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.38 tengah hari.

"Seramai 12 anggota Balai Bomba Tumpat dan Darul Naim tiba bersama dua jentera.

"Sebaik tiba, api sudah marak dan kira-kira 70 peratus kediaman terbabit hangus. Api berjaya dikawal pada jam 1.56 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 5:54 PM