Rozita  mencari saki baki barang yang terselamat  dalam kebakaran di Kampung Dusun Langgar.
Rozita mencari saki baki barang yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Dusun Langgar.
Siti Rohana Idris


Tumpat: “Kalau lima minit saya terlewat, sudah pasti anak saya rentung dalam kebakaran itu,” kata Rozita Ramli, 38, mangsa kebakaran di Kampung Dusun Langgar, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 10 malam itu menyebabkan dua rumah termasuk kediaman Rozita musnah dan mereka mengalami kerugian RM120,000.

Rozita berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah ibunya, Rokiah Mohamad, 60, yang terletak 20 meter dari kediamannya manakala anak keduanya, Shahril Faieza Zamzuri, 15, sedang tidur di bilik dan tidak menyedari bahagian dinding rumah mereka sudah terbakar.

“Anak jiran menjerit memanggil saya dan memaklumkan api sedang marak membakar rumah. Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari pulang dan mendapati separuh daripada rumah sudah terbakar.

“Dalam keadaan panik, saya terus naik ke atas rumah dan mengheret tangan anak yang tidur di dalam biliknya. Dalam keadaan mamai, dia hanya mengikut saya keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Rozita berkata, ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana berada di rumah ibunya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas manakala anak sulungnya keluar bersama rakan.

Katanya, dia sedih selepas melihat semua peralatan membuat kuih yang diusahakannya sejak lebih 10 tahun lalu hangus.

“Tiada apa yang tinggal, malah semua barang kemas pusaka termasuk cincin perkahwinan tidak dapat diselamatkan,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Seorang lagi mangsa, Rohana Hasan, 34, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu kerana menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, ketika kebakaran, dia berada di rumah bersama suami dan lapan anak termasuk bayi berusia empat bulan.

“Paling memeranjatkan wang tunai yang disimpan anak sulung, Hansan Abdul Talib sebanyak RM10,000 untuk membeli kereta hangus.

“Anak saya bekerja siang malam sebagai tukang rumah dan berniaga secara dalam talian untuk mengumpulkan wang itu sejak usianya 13 tahun lagi tetapi wang simpanan itu hangus begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 malam dan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat serta Darulnaim ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:10 AM