Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


PAKATAN Harapan (PH) yakin mendapat sokongan yang membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan.

Keyakinan itu diluahkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yang memaklumkan sokongan yang diperoleh itu menyebabkan tiada pilihan raya umum (PRU) akan dijalankan.

Beliau berkata, PH kini memiliki angka mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

“Kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU kerana kita boleh dapat majoriti yang jelas.

"Majoriti mudah cukup bagi PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH, hari ini.

KHALID Samad. FOTO arkib NSTP
KHALID Samad. FOTO arkib NSTP

Dalam pada itu, Khalid menyifatkan mesyuarat berkenaan berlangsung dengan baik dan menyentuh pelbagai perkara yang dipengerusikan Ketua Umum PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin lain yang hadir antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu selain Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat berkenaan dipercayai membincangkan hala tuju PH selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari gabungan itu semalam selain mengenai jawatan Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:42 PM