Recqueal Raimi


POLIS menahan tujuh individu membabitkan pengedar dan penagih dadah menerusi serbuan Op Ice Breaker di sekitar Tuaran bermula 17 Februari sehingga semalam.

Serbuan selama seminggu itu dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi itu dilancarkan susulan maklumat orang awam di lokasi dikenal pasti sebagai sarang dadah.

Beliau berkata, antara tiga lokasi ‘panas’ diserbu adalah Taman Telipok Ria, Taman Sri Rugading dan Pekan Tuaran.

“Daripada jumlah ini, seorang lelaki ditahan akibat mengedar dadah manakala enam lelaki lagi ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu melalui saringan awal ujian air kencing.

“Lima suspek merupakan warga tempatan dan dua lagi warga asing yang berusia 19 tahun sehingga 49 tahun,” katanya pada sidang media di Bilik Pusat Media, IPD Tuaran, hari ini.

POLIS menunjukkan dadah yang dirampas menerusi serbuan Op Ice Breaker pada sidang media di IPD Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
POLIS menunjukkan dadah yang dirampas menerusi serbuan Op Ice Breaker pada sidang media di IPD Tuaran. FOTO Recqueal Raimi

Beliau berkata, pihak polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 52.94 gram dianggarkan bernilai RM7,941 mengikut harga semasa.

Menurutnya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, polis mengucapkan syabas kepada orang awam dan berharap agar terus menyalurkan maklumat untuk membanteras kegiatan dadah di Tuaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 5:10 PM