ANTARA suspek yang ditahan dalam Ops Tapis di Tuaran. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA suspek yang ditahan dalam Ops Tapis di Tuaran. FOTO Ihsan PDRM
Recqueal Raimi


SERAMAI 12 individu termasuk pengedar dadah ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan sepanjang dua minggu di beberapa lokasi di Tuaran.

Operasi bermula 21 Oktober lalu dan berakhir kelmarin itu dilaksanakan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, antara kawasan yang diserbu termasuk Taman Telipok Ria, Kampung Sawah dan Kampung Mengkabong.

“Sebanyak 28 serbuan dilakukan sepanjang operasi ini dan hasil serbuan membawa kepada dua tangkapan membabitkan pengedar, tiga memiliki dadah dan enam lagi didapati positif dadah melalui ujian saringan awal air kencing.

“Selain itu, seorang lagi suspek turut ditahan selepas didapati pernah melakukan kegiatan sama dibawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 41.58 gram yang bernilai RM6,237 mengikut harga pasaran semasa.

Katanya lagi, semua tangkapan berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) , Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Mohd Hamizi turut berkata, pihaknya akan pergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah itu.

“Bagaimanapun, kerjasama orang awam amat diperlukan bagi memberikan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau membabitkan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 9:45 AM