ANGGOTA APMM memeriksa minuman keras yang dirampas. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM memeriksa minuman keras yang dirampas. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana


Beaufort: Cubaan sekumpulan individu menyeludup pelbagai minuman keras gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Menumbuk, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, anggota APMM Labuan merampas minuman keras, enjin bot, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV, lori dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM180,000.

Pengarah APMM Labuan Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, hasil maklumat daripada orang awam, sepasukan APMM Labuan melakukan pemantauan selama sebulan dan berjaya mengesan aktiviti penyeludupan berkenaan.

"Bot APMM Labuan mengesan dan mengekori sebuah bot dipercayai bot penyeludup di perairan Pulau Daat yang bergerak ke Menumbok.

"Selepas hampir 30 minit mengekori, bot berkenaan didapati merapat di tebing Sungai Klias dan kelihatan lori putih dan kenderaan Honda CRV serta beberapa individu melakukan pemunggahan barang.

"Bagaimanapun kehadiran anggota APMM disedari menyebabkan semua mereka melarikan diri," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan tanpa nombor pendaftaran, lori Isuzu dan kenderaan Honda CRV menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama.

"Pemeriksaan lanjut mendapati minuman keras bernilai RM17,000 bot beserta enjin, dan dua kenderaan itu dianggarkan bernilai RM170,000 dan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM187,000.

"Semua rampasan kemudian dibawa ke pejabat APMM Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah Adnan, bot serta barangan yang dirampas disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 2:20 PM