ANGGOTA APMM menumpaskan cubaan seludup minuman keras.
ANGGOTA APMM menumpaskan cubaan seludup minuman keras.
HM Digital

Labuan: Tindakan sebuah bot memecut sebaik menyedari kehadiran bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Menumbok, membongkar rahsia ia cuba menyeludup keluar minuman keras pelbagai jenama dari Labuan ke Menumbok dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, bot itu didapati membawa minuman keras pelbagai jenama bernilai RM105,000.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya mengesan sebuah bot dilihat dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Beliau berkata, bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Labuan menuju ke Menumbok.

“Selepas hampir 10 minit mengekori bot itu, dua lelaki yang berada di dalam bot berkenaan menyedari kehadiran bot APMM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 4:28 AM