ARTHUR meninjau kerja pembaikan kerosakan Jalan Sandakan - Kota Kinabalu di Telupid. FOTO Ihsan KKR
ARTHUR meninjau kerja pembaikan kerosakan Jalan Sandakan - Kota Kinabalu di Telupid. FOTO Ihsan KKR
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan RM10.5 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan segera kerosakan Jalan Persekutuan FT22 di sepanjang laluan Kota Kinabalu - Sandakan yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk.

Peruntukan itu merangkumi RM5 juta peruntukan segera yang disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan RM5.5 juta lagi disalurkan menerusi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, lima lokasi dikenal pasti memerlukan pembaikan segera melalui peruntukan segera RM5 juta kepada JKR Sabah iaitu Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143-144, semuanya di daerah Telupid.

Katanya, surat arahan kebenaran belanja sudah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun lalu dan kini kerja fizikal pembaikan yang termasuk penurapan berkala sudah bermula.

Katanya, ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebagai antara langkah jangka pendek mengatasi ketidakselesaan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, langkah yang diambil itu adalah susulan lawatan kerja bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan pengurusan atasan KKR sempena FT Roadpedia Negeri Sabah Mei lalu.

"Susulan lawatan itu, satu pasukan petugas khas yang saya ketuai dibentuk bagi mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang di laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid.

"Mesyuarat pertama diadakan pada 7 Jun lalu yang mana hala tuju pasukan khas ini menumpu kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian bersama," katanya dalam kenyataan sempena tinjauannya di Jalan Sandakan - Telupid, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan jajaran Jalan Persekutuan FT22 itu adalah sebahagian laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu dalam Pakej Kerja 28, 29 dan 30, kaedah penyelesaian memerlukan pembabitan pasukan projek lebuh raya berkenaan yang terdiri daripada JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa Projek, pihak perunding dan kontraktor serta syarikat konsesi yang menyelenggara Jalan Persekutuan.

Pada masa sama, katanya sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej Kerja 28, 29 dan 30 untuk melaksanakan kerja pembaikan di sepanjang laluan yang terbabit dengan pembinaan lebuh raya itu bermula dari Batu 32, Sandakan sehingga Sungai Baoto, Telupid.

"Kerja sudah bermula awal bulan ini membabitkan lokasi yang kritikal terlebih dahulu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

"Pada masa sama, kerja mengenal pasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding dan akan dibentangkan pada mesyuarat pasukan petugas khas secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, bagi penyelesaian jangka sederhana, JKR Sabah akan melaksanakan pemeriksaan terhadap pelan pengurusan trafik di tapak secara berkala untuk memastikan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan raya ketika pembinaan.

Katanya, JKR Sabah akan menambah papan tanda amaran mengikut kesesuaian lokasi selain bekerjasama secara berterusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pematuhan peraturan jalan raya serta mengkaji had laju sepanjang tempoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 4:02 PM