TRELER terbalik akibat kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TRELER terbalik akibat kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari

PEMANDU treler yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa empat sekeluarga di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen di Sungai Siput, malam tadi ditahan reman empat hari.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan polis tengah malam tadi selepas selesai mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput akibat cedera.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek lelaki itu ditahan reman bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia negatif daripada gejala dadah.

"Bagaimanapun, kita akan mendapatkan laporan daripada pihak hospital berkaitan dengan sampel darah yang sudah dihantar untuk ujian lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khaizam berkata, anak sulung mangsa, Mohammad Fariz Iskandar, 3, yang parah sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).



Dalam kemalangan malam tadi, empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut manakala seorang lagi kanak-kanak parah.

Mangsa maut adalah pemandu, Mohamad Faiz Bakhri, 28, yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput.

Turut maut ialah isteri mangsa, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsu mangsa, Mohammad Faqih Irshad, 2; dan adik ipar kepada pemandu, Nik Ifieka Nik Hassan, 28.

Berita berkaitan:

  • Empat maut, bukan lima [METROTV]
  • Lima termasuk bayi maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 1:27 PM