CHE Senah ditenangkan ahli keluarga yang datang berziarah di Kampung Jambu, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
CHE Senah ditenangkan ahli keluarga yang datang berziarah di Kampung Jambu, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


LANS Koperal Mohamad Faiz Bukhari sempat memberitahu ibu bapanya untuk membina rumah di kampung halaman di Kota Bharu.

Malah arwah yang meninggal dunia dalam kemalangan malam di Sungai Siput, malam tadi turut menunjukkan wang simpanan yang akan digunakan untuk tujuan itu kepada ibunya Che Senah Che Awang, 62.

Che Senah berkata, apabila ditanya bilakah dia akan memulakan pembinaan itu, arwah Mohamad Faiz hanya memberitahu tidak pasti.

“Minggu lalu dia bawa saya dan suami menyemak duit simpanannya di pejabat pos, dan apabila ditanya bila mahu mula pembinaan, jawabnya tidak pasti lagi kerana simpanan masih belum cukup.

“Dia beriya-iya menanda tapak tanah di hadapan rumah saya ini sambil mengingatkan lapan adik-beradiknya yang lain, jangan mengambil tapak (tanah) itu.

“Sedih kerana hasrat itu tidak dapat dilaksana dan dia dijemput Illahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu, Kota Bharu hari ini.

Dalam nahas 10.20 malam itu, anggota polis berusia 28 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, meninggal dunia bersama isteri, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsunya, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, 3, serta adik ipar, Nik Ifieka Nik Hassan, 28.

Anak sulungnya Mohammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 3, parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP), Ipoh.

Menurut Che Senah, dia menerima berita mengejutkan itu pada 12.15 tengah malam dan sukar menerima kehilangan serentak anak, menantu dan cucunya.

Katanya, anak keenam daripada sembilan beradik itu seorang anak yang baik walaupun pendiam selain suka bersedekah dan sangat disenangi semua orang.

Jenazah Mohamad Faiz, isteri serta anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu dalam satu liang petang ini, manakala jenazah Nik Ifieka dibawa ke kampung halamannya di Kampung Jejulok, Bachok.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Pemandu treler direman empat hari
  • Empat maut, bukan lima [METROTV]
  • Lima termasuk bayi maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 2:30 PM