Siti Rohana Idris

KETIBAAN jenazah tiga beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Sungai Siput semalam disambut tangisan ahli keluarga petang hari ini.

Suasana pilu dirasai sebaik jenazah dibawa naik ke rumah di Kampung Jambu di Panji, Kota Bharu untuk disembahyangkan.

Ibu Allahyarham Mohamad Faiz Bukhari, Che Minah Che Awang, 62, kelihatan sebak dan terpaksa ditenangkan ahli keluarganya.

Jenazah Mohamad Faiz, 28, isterinya, Nik Idayu Nik Hasan, 30, serta anak bongsu mereka, Mohammad Faqih Irshad yang berusia dua tahun tiba di rumah keluarganya dengan tiga van jenazah selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sungai Siput.

Solat jenazah diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka Ahmad Fathan Mahmood.

Jenazah Mohammad Faqih Irshad diangkat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di Panji, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Jenazah Mohammad Faqih Irshad diangkat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di Panji, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pengebumian tiga sekeluarga itu diiringi lebih 200 ahli keluarga serta penduduk kampung dan selesai pada 6 petang.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia iaitu adik kepada Nik Idayu, Nik Ifieka, 28, dibawa ke kampung halamannya di Kampung Jejulok, Bachok untuk dikebumikan.

Dalam kejadian di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput, 10.20 malam tadi, kereta dipandu Mohamad Faiz dirempuh treler membawa muatan bahan binaan.

Nahas itu juga menyebabkan anak sulungnya, Mohammad Fariz Iskandar, 3, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP) Ipoh.

Berita berkaitan:

  • Tanda tapak rumah sebelum dijemput Illahi
  • [UPDATE] Pemandu treler direman empat hari
  • Empat maut, bukan lima [METROTV]
  • Lima termasuk bayi maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:52 PM