SUSPEK utama, Amy (kanan) dan rakannya, Manap diburu polis. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SUSPEK utama, Amy (kanan) dan rakannya, Manap diburu polis. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Cemburu menjadi motif seorang lelaki maut selepas dua hari bertarung nyawa akibat parah dalam pergaduhan di Kampung Jalong di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Izan Mohamad Anuar, 22, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada 12.27 tengah malam tadi susulan parah kesan daripada hentakan di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama lima hari bermula hari kejadian bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan ke atas kedua-dua tangkapan, sebatang kayu berukuran kira-kira satu meter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa ditemui berhampiran rumah bapa suspek utama yang masih bebas.

"Polis kini memburu suspek utama iaitu Mohd Rozaimy Amer berusia 30 tahun yang turut dikenali sebagai Amy. Dia adalah bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara pada minggu lalu.

"Turut diburu ialah rakan Amy iaitu Muhammad Za'im Nor Manan berusia 20 tahun yang dikenali dengan panggilan Manap, kedua-dua mereka berasal dari Kampung Jalong," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini.

Menurutnya, susulan kematian mangsa, kertas siasatan kes kini dipinda daripada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah kepada Seksyen 302 kanun yang sama kerana membunuh.

Katanya, suspek utama dan rakannya itu masing-masing mempunyai lapan serta empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Bagaimanapun, pergaduhan yang berlaku dipercayai membabitkan satu lawan satu iaitu antara mangsa dengan suspek utama (Amy), dengan semua suspek mengenali antara satu sama lain."

"Sejurus pergaduhan, mangsa mula tidak sedarkan diri ketika dirawat di Hospital Sungai Siput sebelum kemudian dipindahkan ke HRPB," katanya.

Mohd Khaizam berkata, kedua-dua suspek yang bebas dipercayai masih berada di kawasan sekitar dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:18 PM