GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
MuhammadZulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Wanita maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dipandu terbabas dan melanggar pokok di tengah pembahagi jalan di KM23.5 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa maut adalah wanita berusia 44 tahun, manakala remaja dan kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 13 serta 10 tahun yang dipercayai anak wanita itu, cedera di kaki serta muka.

Katanya, mangsa maut tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita itu terbabas lalu melanggar pokok pada pembahagi jalan.

"Polis meminta bantuan bomba untuk bantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khaizam berkata, sebelum nahas, mereka dipercayai dalam perjalanan dari tempat kerja wanita itu dari Sungai Siput menghala ke arah Ipoh.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 12.48 tengah hari, dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput digerakkan ke lokasi.

Katanya, nahas membabitkan sebuah kereta Hyundai yang terbabas dan melanggar sebatang pokok.

"Pemandu yang tersepit disahkan meninggal di lokasi kejadian dan dibawa keluar menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada polis.

"Mangsa cedera dihantar ke hospital dengan ambulans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:27 PM