KOTA BHARU 09 FEBRUARI 2020. Presiden Malaysian Orange Versys Owners Club (MOVOC). Adnan Ali (dua kanan) menyampaikan sumbangan cek berjumlah RM3,750 kepada Penasihat kelab kebajikan Asnaf, Zurawati zulkifli (kiri) bersama diiringi Pengerusi serta pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Ir Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni (dua kiri) selepas program Konvoi Amal dan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf di Rumah Asnaf di Tanjung Mas. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Hazira Ahmad Zaidi

SERAMAI 50 keluarga ansaf dan anak yatim yang terpilih daripada Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan menerima sumbangan daripada kelab motosikal berkuasa tinggi Malaysian Orange Versys Owners Club (MOVOC).

Pengerusi serta pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata, konvoi amal itu disertai 80 ahli kelab motosikal iaitu 40 wakil daripada MOVOC yang datang dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor selain beberapa kelab dari Kelantan.

“Asnaf dan anak yatim yang terpilih untuk menerima sumbangan barangan keperluan harian ini terdiri daripada mereka yang masih belum menerima sumbangan dan kebiasaannya akan bergilir-gilir.

“Sehingga kini, 1,200 keluarga asnaf terdiri daripada ibu tunggal dan fakir miskin yang sudah berdaftar dengan kelab ini dan kami sebaik mungkin akan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

“InsyaAllah program sebegini akan dijalankan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai golongan kurang bernasib baik dapat dibantu,” katanya selepas Konvoi Amal dan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf di Rumah Asnaf di Tanjung Mas, semalam.

Terdahalu, Presiden MOVOC, Adnan Ali menyampaikan sumbangan cek berjumlah RM3,750 kepada Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.

Meor Shamshir berkata, pelbagai program diadakan bagi membantu golongan asnaf termasuk Dapur Asnaf yang diadakan pada setiap hari Jumaat untuk memberi makan percuma kepada kira-kira 200 hingga 300 asnaf.

Sementara itu, seorang penerima, Norhasita Senik, 43, berkata, sumbangan barang keperluan harian yang diberikan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung.

“Suami saya, Rokimi Awang, 37, hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan tidak menentu iaitu RM70 sehari untuk menyara keluarga dan perbelanjaan persekolahan anak tunggal kami, Mohd Safwal Rokiman, 8.

“Walaupun hidup kami anak beranak hanya ala kadar, namun kami bersyukur dengan apa yang ada dan tidak pernah sesekali merungut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 12:03 PM