MEMANTAU petugas menyiapkan makanan.
MEMANTAU petugas menyiapkan makanan.
Muhamaad Razis Ismail

RAMADAN adalah bulan yang paling dinanti-nantikan wanita ini pada saban tahun.

Bagi Pengurus Operasi Rumah Asnaf, Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Zurawati Zulkifli, 43, Ramadan memberi peluang kepadanya untuk menyantuni dan membantu asnaf yang memerlukan.

Sepanjang Ramadan pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk menyampaikan sumbangan makanan, menyantuni golongan asnaf, tadarus al-Quran dan menghantar bekalan sahur kepada barisan hadapan.

Setiap hari lebih 2,000 pek makanan disediakan untuk asnaf, gelandangan dan petugas barisan hadapan.

Jadi, tidak hairan sepanjang Ramadan ini, Zurawati hanya tidur tiga jam pada setiap hari kerana jadual yang padat.

Biarpun begitu, dia berasa puas apabila dapat menunaikan tanggugjawab dan amanah yang diberikan untuk membantu mereka lebih memerlukan.

Zurawati berkata, dia sudah terbabit secara aktif dengan badan pertubuhan kerajaan (NGO) yang beroperasi di Tanjung Mas, Kota Bharu sejak tiga tahun lalu.

MAKANAN diagihkan kepada asnaf.
MAKANAN diagihkan kepada asnaf.

Katanya, sepanjang tempoh itu, Ramadan adalah bulan yang paling ditunggu kerana pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk asnaf menerusi sumbangan orang ramai.

"Memang kita tunggu saat ini kerana nikmat membantu asnaf di bulan puasa memberi kepuasan berbeza.

"Apabila kita berikan sumbangan makanan untuk berbuka atau zakat, ucapan terima kasih dan doa mereka itu membuatkan kita rasa cukup bahagia serta tenang.

"Biarpun saya sekadar perantara, ia adalah satu perkara yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata apabila dapat membantu," katanya ketika dihubungi.

Sepanjang Ramadan ini, seramai 200 asnaf menerima pek makanan mengikut jumlah keluarga masing-masing.

Menurutnya, selain sumbangan makanan, pihaknya juga memberi makanan rohani kepada asnaf dengan mengadakan kelas tadarus di rumah asnaf.

"Setiap pagi, kami bawa guru tadarus al-Quran profesional untuk mengajar asnaf ini mengaji.

"Alhamdulillah sambutan yang diberikan sangat menggalakkan terutama membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Tidak cukup dengan itu, selepas memberi makanan kepada asnaf, dia bersama beberapa petugas Rumah Asnaf akan keluar mencari golongan asnaf di kawasan sekitar.

TIDAK kekok menyantuni golongan memerlukan.
TIDAK kekok menyantuni golongan memerlukan.

"Dengan motosikal, kami akan meronda di kawasan sekitar untuk bertanya khabar golongan memerlukan dan menyampai sumbangan makanan.

"Kita perlu faham bukan semua dapat ke sini kerana keuzuran, tiada pengangkutan dan sebagainya. Jadi, saya ambil inisiatif ini untuk mencari mereka," katanya.

Pada sebelah malam pula, selepas berbuka puasa, suami yang juga pengasas dan pengerusi NGO ini, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni akan menyediakan sahur untuk petugas barisan hadapan.

"Selepas solat Tarawih, kami bersama Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan akan terjah ke mana-mana sekatan jalan raya, balai dan sebagainya untuk hantar makanan ini kepada mereka.

"Biasanya jam 2 pagi, baru selesai segala urusan sebelum balik ke rumah untuk berehat. Rutin itu akan berulang sepanjang Ramadan ini.

"Memang penat, namun saya seperti sudah rasa 'ketagih' dengan aktiviti kebajikan yang sudah sebati dengan diri," katanya.

Melihat Zurawati yang berniqab, ramai yang tidak menyangka sebenarnya sebelum ini dia bekerja sebagai jurulatih kecergasan.

"Dahulu memang kehidupan saya jauh berbeza dan tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap sekarang. Pada usia 40 tahun ketika itu, saya bersyukur Allah berikan teguran dan hidayah untuk berhijrah selepas bergaul dengan ramai asnaf.

BERSAMA suami yang cukup memahami.
BERSAMA suami yang cukup memahami.

"Saya nekad buang pakaian lama, jual studio aerobik dan berubah 180 darjah untuk menjadi insan yang lebih baik," katanya.

Katanya, sebagai wanita untuk terbabit dengan aktiviti kebajikan ini tidak mudah kerana pernah berdepan persepsi negatif dan kecaman daripada pihak tertentu.

"Ada yang pandang serong, apabila kadangkala saya menghantar sumbangan tanpa ditemani suami sedangkan mereka tidak tahu suami ada kerja hakiki sebagai jurutera. Saya abaikan perkara itu dan teruskan tugas ini.

"Untuk terbabit dengan kerja sukarela seperti ini memerlukan semangat, minat dan kesabaran yang tinggi, Insya-Allah akan dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 7:00 AM