TANGGUNGJAWAB sebagai pakar ortopedik bukan penghalang Dr Noreen Fazlina aktif aktiviti kebajikan.  FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
TANGGUNGJAWAB sebagai pakar ortopedik bukan penghalang Dr Noreen Fazlina aktif aktiviti kebajikan. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
Muhamaad Razis Ismail

SETIAP hari hampir sepanjang masa dia berada di hospital untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pakar ortopedik.

Biarpun mempunyai tugasan merawat pesakit namun Dr Noreen Fazlina Mat Nor, 39, tetap meluangkan masa dalam membuat pelbagai aktiviti kebajikan.

Di mana sahaja negeri yang pernah ditempatkan termasuk di Sarawak, Johor dan kini berada di Kelantan, ibu kepada seorang anak ini tidak akan melepaskan peluang untuk membantu masyarakat setempat menerusi aktiviti kebajikan.

Baginya, sebagai petugas kesihatan di hospital bukan penghalang untuk menabur bakti di luar bidang kepakaran yang diceburinya.

Kini, dia bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu aktif membantu Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.

Penulis sendiri tertarik untuk mengetahui lanjut mengenai wanita ini selepas seorang rakan di Facebook berkongsi gambar Dr Noreen Fazlina yang tidak kekok menyingsing lengan membantu menyediakan makanan untuk diagihkan kepada asnaf.

TIDAK kekok menyediakan makanan untuk asnaf. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
TIDAK kekok menyediakan makanan untuk asnaf. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor

Dr Noreen Fazlina berkata, dia mula aktif dengan aktiviti kebajikan ketika bertugas di Johor pada 2017.

Katanya, dia mengenali beberapa rakan doktor yang turut meminati aktiviti sama sebelum menubuhkan Persatuan Doktor-Doktor Johor.

"Kami banyak turun di kawasan pedalaman di sekitar Johor untuk membantu membuat pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk terutama warga emas.

"Menerusi program ini, kami bukan sahaja buat pemeriksaan, malah turut membantu merawat dan sekiranya terdapat keraguan, kami akan bantu merujuk pesakit ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Alhamdulillah, program ini dapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang ada dalam kalangan mereka berdepan kesukaran ke hospital kerana duduk di pedalaman," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada penghujung 2018, dia bertugas di Kelantan dan masih tetap aktif membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan yang diasaskan Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni.

SAMPAIKAN sumbangan.  FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
SAMPAIKAN sumbangan. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor

"Secara kebetulan, suami dan Meor Shamshir mengenali antara satu sama lain ketika belajar di luar negara.

"Kemudian saya menawarkan diri untuk membantu termasuk memasak,

menyediakan makanan, membungkus dan mengagihkan makanan kepada asnaf memerlukan di sini.

"Sepanjang Ramadan ini, biasanya saya berada di sini sepanjang hari pada Jumaat dan Sabtu manakala pada hari biasa saya ke sana selepas tamat waktu bekerja," katanya.

Ditanya apakah kepuasan yang diperoleh dengan menyertai aktiviti kebajikan, Dr Noreen Fazlina berkata, perasaan itu sukar digambarkan dengan perkataan.

"Hanya orang yang buat akan rasai bagaimana perasaan itu. Tapi, yang pasti saya gembira dapat mainkan peranan mengembirakan orang lain dalam kesusahan.

"Sebelum ini saya banyak beri sumbangan kepada pihak tertentu untuk sampaikan kepada mereka yang memerlukan. Tapi, apabila saya sendiri turun padang, saya dapat rasai sendiri perkara itu," katanya.

Tambahnya, dengan menyertai aktiviti seperti ini, dia menjadi lebih bersyukur dan menghargai dengan apa diperoleh dalam hidupnya.

"Pada kita mungkin RM50 itu jumlahnya kecil, tapi bagi insan yang memerlukan sebenarnya nilainya cukup besar.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat dan beli barang untuk keperluan sahaja dan elakkan pembaziran," katanya.

AHLI keluarga tidak menghalang.  FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
AHLI keluarga tidak menghalang. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor

AKTIF dengan aktiviti lasak.  FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor
AKTIF dengan aktiviti lasak. FOTO Ihsan Dr Noreen Fazlina Mat Nor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 7:00 AM