Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pemuda menghidap autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD) ini bukan sahaja berkebolehan untuk membuat roti malah turut mempunyai hati yang mulia kerana sering memberi sumbangan kepada rumah kebajikan dan petugas barisan hadapan.

Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan, 23, yang mempunyai lima tahun pengalaman dalam bidang pastri, kini aktif menghasilkan roti RM1 kerana mahu golongan tidak berkemampuan turut merasai air tangannya.

Usaha murninya itu mendapat perhatian Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) dengan memberinya ketuhar bernilai RM1,000 secara percuma bagi menghargai sumbangannya itu.

Ia adalah kejutan buatnya apabila dia sebenarnya hanya mahu menyumbangkan 200 roti kepada rumah asnaf yang diselia dibawah KKAK itu.

Muhammad Farid Fakhruddin yang juga pemegang Sijil Asas Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang, mengakui terkejut dan dalam masa yang sama gembira dengan pemberian berkenaan yang dianggap bagaikan bulan jatuh ke riba.

"Saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini dan hanya menjalankan tanggungjawab sosial untuk mengedarkan roti hasil air tangan sendiri secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

"Malah ibu, Roselina Mohamad Mahiddin, 56, juga tidak mengetahui berkaitan kejutan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada KKAK yang sudi menghadiahkan ketuhar ini.

"Insya-Allah saya akan gunakan sebaiknya untuk terus menghasilkan kek atau roti terutama untuk program kebajikan yang saya jalankan sepanjang pandemik Covid-19 ini.

"Selain sebagai aktiviti sosial saya juga mahu membuktikan golongan autisma juga mampu membantu masyarakat memerlukan," katanya ketika ditemui di Rumah KKAK, di sini, hari ini.

Ketuhar itu disampaikan oleh Pengerusi KKAK, Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni.

Muhammad Farid Fakhruddin berkata selain ibunya, dia turut dibantu bapa, Md Fauzan Derahman, 56, daripada segi kewangan dan sokongan moral demi memastikan anak autisme sepertinya mampu berdiri di atas kaki sendiri.

"Sudah lama saya menanamkan niat di hati untuk mengadakan kelas menghasilkan roti, jadi apabila menerima ketuhar ini, ia memberikan idea untuk saya berkolaberasi dengan KKAK bagi mengajar golongan asnaf membuat roti.

"Bagaimana pun, ia masih perancangan di peringkat awal yang mana saya perlu berbincang dengan sebaiknya, namun berharap ia dapat menjadi kenyataan," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, di sini.

Sementara itu, Ir Meor Shamshir berkata pihaknya berharap pemberian ketuhar itu dapat memberi semangat baru buat Muhammad Farid untuk terus maju dalam bidang pastri selain sebagai tanda menghargai usahanya yang aktif membantu golongan asnaf.

MUHAMMAD Farid Fakhruddin menunjukkan sebahagian daripada 200 biji roti yang disumbangkan kepada Rumah Asnaf KKAK, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Farid Fakhruddin menunjukkan sebahagian daripada 200 biji roti yang disumbangkan kepada Rumah Asnaf KKAK, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 2:36 PM