Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Rasa prihatin dan mahu meringankan beban golongan memerlukan dalam tempoh pandemik Covid-19, badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) menyediakan bank makanan atau 'food bank' sejak awal tahun ini.

Pengerusi yang juga Pengasas KKAK, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 43, berkata, penerima perlu mengisi borang permohonan bantuan bagi membolehkan ahli jawatankuasanya memantau keperluan sebenar diperlukan keluarga asnaf dan penerima terbabit.

Katanya, borang bantuan permohonan disediakan bertujuan untuk mengetahui senarai barang keperluan amat diperlukan asnaf.

"Melalui borang diisi itu, kami boleh mengeluarkan data berdasarkan apa yang mereka ambil dan saya akan kongsikan di Facebook KKAK bagi memudahkan orang ramai menderma mengikut keperluan semasa, sama ada menghantar barang terus melalui pos atau mengirimkan wang.

"Sebolehnya kita ingin menyediakan barangan diperlukan kumpulan asnaf yang datang mengambilnya kerana mahu mengelakkan pembaziran dan konsep kami adalah tidak mahu simpan stok barangan di rak food bank.

"Apa yang ada, kami mahu serahkan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui di rumah KKAK di Pengkalan Chepa, hari ini.

Meor Shamshir menyusun barang keperluan asas di atas rak food bank di Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Meor Shamshir menyusun barang keperluan asas di atas rak food bank di Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Meor Shamshir berkata, pernah satu masa, rak food bank kosong dan wang dimilikinya untuk membeli dan menyediakan barangan serta makanan kepada lebih 2,000 asnaf tidak mencukupi menyebabkan dia buntu.

Katanya, dia kemudian berbincang dengan AJK KKAK dan berfikir cara untuk kami menambah wang tabung untuk membeli keperluan asnaf serta memenuhkan rak food bank.

"Beberapa hari saya tidak tidur memikirkan hal ini dan akhirnya Allah datangkan seorang hambaNya untuk menyumbang menggunakan wang sedekah Subuhnya.

"Alhamdulilah, saya menarik nafas lega kerana ada duit dan barangan boleh KKAK berikan kepada asnaf jika ada yang datang meminta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:57 PM